Bersama Suzana: Layakkah Anda Berkahwin?

Oleh Owner

Nobis dolorum quasi aut quisquam accusantium sed ut nulla ducimus adipisci numquam fugit cum placeat est et quis quasi provident laudantium praesentium sed amet et quidem omnis aliquid perferendis beatae aut qui iure ea dignissimos sequi velit non dolorem voluptatum.

Saya yakin semua orang sedia maklum, soal jodoh dan perkahwinan adalah kerja Dia yang Maha Kuasa. Sebagai makhluk, kita hanya mampu merancang dan segalanya hanya Dia yang menentukan. Ada yang ditakdirkan bertemu jodoh tika usia awal 20-an malah ada yang masih mencari pasangan hidup walau usia telah mencecah 40 tahun. Kalau bagi kaum lelaki, mungkin bukan masalah besar. Ada yang mengatakan  kaum lelaki akan lebih tinggi nilainya jika makin bertambah umurnya. Berbeza dengan wanita...

makin berumur makin kurang lakunya. Wallahua’lam. Betul atau tidak, saya tak dapat nak berikan jawapan yang pasti. Bagi saya, setiap kehendak dan takdir Allah itu, ada hikmah yang tersembunyi.

 

Cuti sekolah yang bakal bertamu pula seakan musim orang berkahwin biar ramai juga yang melangsungkan majlis perkahwinan tika hujung minggu di luar musim perayaan atau musim cuti sekolah. Bila ada rakan atau saudara yang berkahwin, pastinya yang masih bujang terasa juga nak berkahwin. Persoalannya, layakkah anda berkahwin? Tunggu!! Yang bakal menjadi raja dan permaisuri sehari hari ini, esok lusa atau dalam masa terdekat, yakinkah sesungguhnya anda telah layak untuk berkahwin?

 

Saya pernah ditanya, berapakah umur yang sesuai untuk seorang lelaki dan seorang gadis mendirikan rumahtangga? Secara dasarnya, tidak ada nas yang jelas tentang had umur yang sesuai untuk seorang lelaki atau wanita berkahwin. Ada yang mempersoalkan tentang perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aishah binti Abu Bakar yang khabarnya tika itu baru berusia tujuh tahun dan ada pendapat mengatakan sembilan tahun. Namun, pendapat tersebut dipertikaikan kesahihannya berdasarkan beberapa cerita sejarah yang berkaitan.

 

Namun begitu, Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan had umur minima perkahwinan. Had umur minima bermaksud, seseorang individu sama ada lelaki atau perempuan ditetapkan mencapai usia tertentu iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki, untuk melayakkan individu tersebut berkahwin. Jika diaplikasikan di kalangan ahli masyarakat hari ini bererti pelajar lelaki yang baru sahaja mengetahui keputusan SPM dan pelajar perempuan yang baru mengetahui keputusan peperiksaan PMR, adalah mereka yang layak untuk berkahwin. Benarkah begitu?

 

Memang benar tetapi kurang tepat. Had umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan ditetapkan sebagai had umur minima atau usia yang paling muda kerana umur tersebut adalah umur baligh yang akhir bagi lelaki dan perempuan dan dianggap sebagai tahap umur dewasa dan mampu berfikir dengan matang untuk membuat sebarang keputusan berkaitan kehidupan masa depan.

 

Dalam kegawatan akhlak dan kehidupan sosial masyarakat hari ini, percaya atau tidak, ada beberapa kes perkahwinan melibatkan pasangan bawah usia minima. Apakah perkahwinan mereka ini sah? Ya! Perkahwinan tersebut adalah dikira sah di segi syarak walau salah di sisi undang-undang dan perkahwinan yang salah di sisi perundangan ini tidak boleh didaftarkan, malah hak-hak lanjutan ekoran perkahwinan tersebut juga sukar diperolehi oleh kedua-dua pihak. Namun masih ada kelonggaran yang diberikan jika perkahwinan melibatkan individu di bawah had umur minima ini perlu atau terpaksa dilakukan juga. Sekiranya keadaan tidak dapat dielakkan dan perkahwinan yang melibatkan pasangan bawah umur tetap ingin dijalankan, maka permohonan boleh dikemukakan kepada pihak Kadhi atau Mahkamah Syariah untuk mendapatkan keizinan.

 

Perlu diketahui, tidak semua negeri di Malaysia menetapkan had umur begini untuk sesuatu perkahwinan. Undang-undang Keluarga Islam Perak tidak mempunyai peruntukan berkaitan ketetapan had umur. Ini bererti, setiap pasangan berhak mengemukakan permohonan untuk berkahwin tanpa mengira had umur. Sama ada ditetapkan had umur minima atau tidak, satu perkara yang pasti, had umur minima 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki tidak menjadi jaminan bahawa umur tersebut adalah umur yang layak untuk berkahwin.

 

Kalau umur bukan penentu kelayakan, siapa sebenarnya yang layak berkahwin? Kelayakan sebenar untuk sesebuah perkahwinan boleh difahami berdasarkan hukum asal perkahwinan. Syariat Islam menetapkan terdapat lima hukum asas bagi seseorang lelaki yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya. Kenapa hanya lelaki? Kerana lelaki adalah ketua keluarga dan bila ketua adalah seorang yang betul-betul layak, insyaAllah ketua ini akan mampu melayarkan bahtera rumahtangganya berlandaskan kehendak syariat dan mampu merealisasikan perkahwinan menepati prinsip dan hikmahnya.

 

Lima hukum tersebut ialah wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina. Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin. Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya. Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.

 

Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.

 

Tahukah anda, di mana kedudukan anda? Kenapa terdapat perbezaan bagi hukum perkahwinan tersebut? Jika dikaji kepada alasan setiap hukum, jelas sekali perbezaan hukum wujud berdasarkan kepada tujuan dan matlamat perkahwinan. Lantas, koreksi diri sebelum berhasrat untuk berkahwin kerana sesungguhnya berkahwin adalah satu ibadah dan boleh memberikan pahala. Jangan pula berkahwin menyebabkan anda dibebani dosa…

 

SUZANA GHAZALI merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan sentiasa dijemput oleh media-media penyiaran tempatan seperti TV3,Astro,RTM untuk menjadi panel mengupas isu rumah tangga,perkahwinan dan kekeluargaan.Untuk menghubungi beliau, anda boleh emailkan kebinabahagia@gmail.com ataupun layari Bersama Suzana


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Owner