Bersama Suzana: Bertunang Tak Sama Dengan Berkahwin

Oleh Admin

Apabila di antara kamu hendak meminang perempuan, maka jika dia boleh melihat apa-apa (bukan aurat) daripada perempuan itu yang ...


Saya menerima banyak emel luahan hati para gadis yang 'terbabas' di dalam hubungan pertunangannya. Rata-rata kes, gadis-gadis ini mengakui telah menjadi isteri tidak sah kepada tunang masing-masing. Walau pada mulanya mereka menolak permintaan tunang masing-masing, namun...

dek kerana paksaan malah ugutan akan memutuskan tali pertunangan maka dengan paksa rela si gadis menyerah diri. Ada juga yang tanpa paksaan atau ugutan tetapi penuh rela hati membenarkan diri diperlakukan bagai isteri dengan alasan telah pun bertunang. Isu lain berkaitan hubungan tunang ini ialah mengenai sikap tunang yang kurang ambil peduli, kurang meluahkan rasa cinta malah ada juga yang langsung tidak melafazkan rasa sayang lagi setelah bertunang sedangkan sebelum itu merekalah pasangan paling romantik.

Cuba ingat kembali maksud pertunangan! Menurut perspektif Islam, hubungan pertunangan berlaku apabila pihak lelaki meluahkan hasrat untuk memperisterikan seorang gadis atau wanita kepada wali perempuan tersebut dan hasratnya diterima. Bererti, walaupun tidak ada rombongan meminang, tidak ada huluran cincin bertatah permata atau belah rotan atau tidak ada dulang pelbagai bentuk hantaran, sekiranya hasrat seorang lelaki diluahkan kepada gadis pilihan dan dengan pengetahuan wali perempuan dan tidak ada apa-apa halangan mengenai hasrat tersebut maka secara jelas dan nyata, pertunangan telah berlaku.

Masalahnya sekarang ini, ada pihak yang menjadikan pertunangan ini bagai satu majlis pra perkahwinan, diadakan kenduri besar-besaran dengan jemputan yang ramai bagaikan satu majlis perkahwinan. Memanglah tak salah cuma tidak menepati konsep pertunangan yang dianjurkan oleh Islam. Syariat menyuruh agar pertunangan menjadi satu perkara rahsia. Jika rahsia, bagaimana wujudnya hukum haram meminang tunagan orang lain? Jangan salah faham, rahsia yang disarankan ialah rahsiakan daripada masyarakat umum tetapi masih boleh dikhabarkan kepada saudara terdekat yang boleh dijadikan sumber maklumat bagi orang lain yang berhasrat meminang si gadis.

Pertunangan perlu dirahsiakan kerana dibimbangi berlaku pemungkiran pertunangan, sudah pasti pihak yang menerima keputusan putus tunang tersebut akan rasa malu malah boleh menimbulkan fitnah atau cerita tidak baik di kalangan mayarakat berkenaan mangsa putus tunang tersebut. Hanya apabila sampai waktu dan tikanya untuk diijabkabulkan, barulah boleh pertunangan ini didedahkan. Apabila wajar dijadikan satu rahsia bererti hubungan yang wujud di dalam pertunangan juga bukanlah boleh diluahkan dengan jelas.

Namun kebanyakan masyarakat hari ni memandang hubungan tunang itu sebagai satu kunci untuk membenarkan diri mereka bebas bergaul malah ada ibu bapa yang menyokong pergaulan bebas ini dengan alasan, “Biarlah… mereka kan dah bertunang..".

Jika diimbas semula, pertunangan wujud sebagai satu jalan untuk menyatakan hasrat kepada satu hubungan perkahwinan. Perlu diingat, pertunangan bukanlah perkahwinan atau pernikahan. Terdapat batasan-batasan yang perlu dipatuhi semasa bertunang. Saranan agar anda perlu mengenali bakal pasangan anda bukan bermaksud sewenangnya anda boleh melakukan apa saja. Saya masih ingat seorang gadis pernah luahkan pada saya, “Camana nak kenal kalau tak selalu keluar atau jumpa?"

Soalan saya pula, apa jaminan anda boleh kenal bakal pasangan anda dengan kerap berjumpa atau keluar bersama? Seorang isteri yang baru berkahwin hampir sebulan pernah meluahkan rasa terkejut dengan sikap suaminya. Menurut si isteri, sepanjang tempoh bercinta dan bertunang, si suami tidak pernah meninggikan suara kepadanya walaupun dia pernah tersilap. Malangnya, belum pun seminggu berkahwin, suaminya telah mencurahkan air kopi panas ke mukanya gara-gara kopi tersebut kurang manis.

Pelik?? Bagi saya, ianya tak pelik. Kenapa? Kerana semasa belum berkahwin, apatah lagi tengah 'asyik masyuk' bercinta, segala apa yang ditampilkan kepada anda adalah yang baik-baik saja. Anda sendiri mesti sedaya upaya berusaha untuk menampilkan personaliti terbaik untuk si dia. Seboleh mungkin, apa saja kelemahan dan kekurangan akan disembunyikan daripada pengetahuan si dia. Ada yang sanggup menipu semata-mata nak tampilkan kelebihan dan keistimewaan semata.

Bila inilah perlakuannya, sudah tentulah anda tidak akan mengenali siapakah bakal pasangan anda yang sebenarnya, seperti mana anda yang tidak membenarkan si dia mengenal anda sepenuhnya. Bila dah bersama di bawah satu bumbung, berapa lama sikap sebenar anda dapat disembunyikan? Lama-kelamaan, kelemahan dan kekurangan anda akan terserlah juga. Bila dah terserlah dan si dia tak dapat nak terima, mulalah porak peranda jadinya.

Kepada si gadis, dah berulang kali saya ingatkan, jagalah harga diri anda sebaiknya. Bukan rambut saja yang perlu dijaga rapi sebagai mahkota diri sebaliknya maruah diri anda yang lebih perlu dijaga. Seperti yang selalu saya katakan, lelaki takkan mempunyai apa-apa kesan sama ada masih teruna atau tidak dan ianya tidak pernah dipersoalkan.

Sebaliknya, sama ada seorang gadis bersetuju dengan sepenuh atau separuh hati menyerahkan harga diri kepada lelaki walaupun tunang sendiri, hanya anda yang akan menerima kecelakaannya di dunia walaupun hakikatnya lelaki itu juga turut sama berdosa. Apakah jaminannya anda akan dikahwini setelah anda menyerahkan diri anda kepadanya? Lelaki yang tidak bertanggungjawab sanggup menafikan perbuatannya walaupun anda sedang mengandungkan zuriatnya. Apa yang boleh anda lakukan? Tidak ada undang-undang malah ketetapan Islam yang menyatakan anda berhak dikahwini oleh lelaki yang membuntingkan anda. Akhirannya, anda yang akan menanggung segalanya.

Walaupun saya pernah menyarankan tak salah mempamerkan rasa suka anda kepada seseorang tetapi bukan bererti anda perlu keluar setiap hari, setiap malam atau setiap hujung minggu. Bukan juga bermaksud anda perlu mengucapkan cinta dan sayang setiap waktu. Ucapan cinta dan sayang tanpa batas boleh mengundang kecelakaan kepada diri sendiri. Bukan saja bakal pasangan anda akan rasa rimas dan lemas tetapi bila sering diucap, ianya boleh tidak memberikan apa-apa kesan kepada emosi lagi. Bayangkan juga jika ditakdirkan tunang anda bukan jodoh anda, bagaimana? Ingatlah, bahagia perkahwinan bermula dari asas hubungan yang baik dan menurut kehendak etika, moral dan syariat Islam.

Di dalam Islam, terdapat hukum yang jelas berkaitan pertunangan. Islam membenarkan lelaki yang meminang melihat perempuan yang dipinang itu tetapi terbatas kepada muka dan dua tangannya sahaja. Dua bahagian tersebut adalah bahagian yang diharuskan oleh syarak dan kedua-dua bahagian tersebut juga sudah cukup menggambarkan keseluruhan tubuh badan seseorang perempuan iaitu muka melambangkan kecantikan dan tangan pula melambangkan kesuburannya.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila di antara kamu hendak meminang perempuan, maka jika dia boleh melihat apa-apa (bukan aurat) daripada perempuan itu yang boleh menggalakkan dia mengahwininya, maka hendaklah dia melakukannya."

Hadis ini memberi panduan bahawa harus lelaki dan perempuan berkenal-kenalan antara satu sama lain dalam batasan agama demi untuk pihak-pihak dapat merasai kesesuaian hidup sebagai suami atau isteri dengan pasangannya itu. Namun, bertunang tetap tak sama dengan berkahwin lantas, jagalah batasan perhubungan agar perkahwinan akan datang mempunyai rahmah dan barakah dari Ilahi untuk bahagia yang diharapkan.

SUZANA GHAZALI merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan sentiasa dijemput oleh media-media penyiaran tempatan seperti TV3,Astro,RTM untuk menjadi panel mengupas isu rumah tangga,perkahwinan dan kekeluargaan.Untuk menghubungi beliau, anda boleh emailkan ke binabahagia@gmail.com ataupun layari Bersama Suzana


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Admin