Tahukah Anda? : Erti Budaya Rewang

Oleh Admin

Budaya rewang ataupun gotong royong kini semakin dilupakan oleh generasi masa muda.

Kita ketepikan sebentar tentang tips-tips, kali ini izinkan admin bercerita pula dengan pembaca tersayang mengenai rewang. Rata-rata masyarakat kita faham dengan apa maksudnya dengan kata rewang. Tapi ada juga segelintir masyarakat yang berasal dari selalunya dari negeri belah timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang yang tidak faham dengan apa ertinya rewang ini. Jadi apakah itu Rewang?

Sebenarnya perkataan Rewang ini berasalnya dari bahasa jawa yang membawa maksud beramai-ramai membanting tulang bergotong-royong dalam menyediakan persiapan sesuatu majlis. Selalunya majlis yang memerlukan kerja Rewang adalah majlis kahwin, sambut menantu, cukur jambul dan seangkatannya.

Mesti ada pembaca di luar sana yang mengganguk setuju jika admin katakan bahawa kerja Rewang ini sebenarnya dekat dengan kita, cuma dari segi panggilan yang berbeza. Mungkin ada yang panggil rewang, ada yang panggil tolong-menolong, ada juga yang panggil gotong-royong, tetapi masih membawa satu makna dan misi yang sama.

Kerja Rewang ini selalunya dilakukan beberapa hari sebelum majlis dilangsungkan. Bagi menyediakan persiapan hari bahagia, bantuan diperlukan dari jiran serta saudara-mara terdekat. Sebagai contoh aktiviti rewang ini seperti beramai-ramai kupas bawang, kentang, potong daging, buat bunga rampai, letakkan telur di dalam karung bunga telur, sediakan bunga manggar, basuh pinggan, sediakan 'goodies' dan macam-macam lagi lah.

Semua persiapan ini harus diselesaikan sebelum majlis bagi memudahkan proses langsungan majlis berjalan lancar. Persediaan rapi untuk bahan masakan, kerana mereka ini juga akan rewang bersama untuk masak lauk-pauk untuk dihidangkan kepada tetamu.

Kelebihan aktiviti rewang ini dilihat dapat memberi 1001 maanfaat kepada masyarakat. Terutamanya di kampung, masih ligat aktiviti rewang ini dijalankan. Di samping bekerjasama membuat tugas yang diberikan, ia telah mengeratkan lagi tali persaudaraan antara satu sama lain. Ada pendapat juga mengatakan dengan budaya Rewang ini telah dapat dijadikan satu medan dakwah peringkat keluarga, sanak-saudara dan jiran terdekat. Dan itulah pendapat yang mengutarakan bahawa keutamaan rewang adalah untuk memulakan misi amal, ziarah dan ukhwah di samping menerapkan nilai adat dan budaya setempat di dalam masyarakat kita.

Admin sejujurnya berpendapat bahawa amalan budaya Rewang ini sangat bagus kerana kita dapat bersuai kenal dengan jiran tetangga yang mungkin kita lima tahun sekali nak jumpa pun mustahil. Tapi sayangnya, di bandar budaya Rewang ini kurang diamalkan. Kerana mereka lebih banyak mengguna khidmat catering berbanding masak sendiri dek kerana kekangan masa yang ada.

Walaupun di bandar rata-rata kurang mengamalkan budaya ini sepenuhnya, tetapi masih juga menerapkan dengan mengumpulkan sanak-saudara dan bersama menyempurnakan majlis. Seperti anak gadis diberi tugas memberi 'goodies' kepada para tamu, anak teruna kacak bergaya memakai baju melayu berarak mengiringi raja sehari. Ini mungkin kita boleh golongkan Rewang gaya moden.

Selalunya admin berpeluang merasai pengalaman Rewang ini jika admin pulang ke rumah ibu saudara admin yang letaknya di Batu Pahat, Johor Bahru. Begitu meriah sambutannya. Yelah orang Johor ratanya ramai keturunan jawa. Sehingga kini, masih mereka amalkan lagi budaya terpuji ini tau! Awalnya admin agak terkejut dengan cara mereka gotong-royong atau rewang. Tetapi apabila sudah kerap, sudah terbiasa pula. Semua bersatu padu, berganding bahu, tolong menolong antara satu sama lain, tidak mengira umur, pangkat, sama sama bekerjasama. Satu permandangan harmoni dari mata admin sendiri.

Bagaimana pula pengalaman Rewang anda?


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Admin