Bersama Suzana: Ujian Berumahtangga

Oleh Azmierul Che Mat

Lumrah hidup berumahtangga menghadapi ujian dan dugaan. Beberapa fasa perkahwinan yang perlu diketahui bagi memberi persediaan kepada pengantin

Sememangnya hidup ini akan sentiasa diuji dan diduga. Tak kira samada hidup bersendiri ataupun hidup berumahtangga. Hidup berumahtangga ujiannya lebih mencabar kerana kita perlu memikirkan orang lain berbanding jika kita hidup bersendirian. Orang lain yang asalnya adalah terlalu asing tetapi telah kita terima menjadi sebahagian daripada hidup kita. Orang lain yang asalnya langsung tidak kita kenali tetapi kita sayang dan cinta dengan sepenuh hati.

Gambar Hiasan oleh: Qulukis Photography

Namun, walau cinta menggunung tetapi percayalah, kita takkan mungkin akan mengenali pasangan kita sepenuhnya. Kita takkan mungkin akan memahami dan mengerti pendirian dan kehendak pasangan kita seratus peratus. Jangan fikir, andai kita telah bercinta 10 tahun bererti kita telah cukup mengenali pasangan kita.

Lantaran itu, para psikologi menetapkan bahawa lima tahun pertama sesebuah perkahwinan adalah tempoh untuk saling cuba menyelami hati dan budi masing-masing. Masa inilah kita akan tahu segala baik buruk pasangan kita. Ingat, kita adalah insan yang serba kekurangan dan kekurangan kita boleh disempurnakan oleh pasangan kita. Begitu juga, kekurangan pasangan kita hendaklah kita yang menyempurnakannya barulah rumahtangga akan bahagia.

Tahun keenam dan tahun-tahun yang seterusnya juga perlu diharungi bersama kerana ujian dan dugaan masih ada. Inilah hakikat hidup berumahtangga sebenarnya. Hidup yang dipenuhi ujian dan rintangan tetapi perlu ditempuhi dan diharungi bersama, bukan sendirian.

Saya akui, ada tikanya saya mencadangkan pengunduran tetapi hanya kepada wanita yang bersendirian mengharungi ranjau dan onak duri perkahwinan. Apa guna punya suami hanya pada nama sedangkan segalanya diuruskan sendiri seperti tidak bersuami. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun. Saya pernah mendengar kata-kata seorang lelaki , tak apalah isteri berkorban lebih untuk suami sebabnya isteri menyayangi suami. Kerana sayang, isteri perlu bersabar dan cuba mengubah suami.


Gambar Hiasan oleh: Aqeelstudio Photography

Pelik…! Memang pelik! Siapa yang dijadikan daripada siapa sebenarnya? Bukankah kaum wanita yang dijadikan daripada tulang rusuk lelaki? Islam telah tetapkan tugas kaum lelaki untuk membetulkan kaum wanita dengan penuh hikmah kerana jika tersalah, tulang akan patah dan jika dibiarkan pun, tulang akan terus bengkok. Lantas, sejak bila tanggungjawab membetulkan dan mengubah ini berpindah kepada isteri?

Saya tau, ada antara wanita yang berjaya mengubah pendirian dan sikap suami. Suami boleh dibentuk oleh isteri sekiranya suami sedar akan kelemahan diri dan bersedia menerima tunjuk ajar dan bimbingan…bersedia untuk berubah malah menunjukkan tanda-tanda awal inginkan perubahan.

Bagaimana jika memiliki suami jenis bodoh sombong…sukar menerima pendapat apatah lagi diperbetulkan…apakah isteri perlu berkorban hingga jiwa terkorban?

Jangan silap memahami fakta…memang benar ujian dan dugaan adalah rempah ratus rumahtangga tetapi segala ujian dan dugaan perlu diharungi dan ditempuhi bersama. Jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk mengatasinya, jangankan lima tahun, lima puluh tahun pun, belum tentu rumahtangga akan bahagia. Pilihan di tangan anda!

SUZANA GHAZALI merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan sentiasa dijemput oleh media-media penyiaran tempatan seperti TV3, Astro, RTM untuk menjadi panel mengupas isu rumah tangga,perkahwinan dan kekeluargaan.Untuk menghubungi beliau, anda boleh emailkan ke binabahagia@gmail.com ataupun layari Bersama Suzana


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Azmierul Che Mat