Bersama Suzana: Perlu Usaha Selamatkan Perkahwinan

Oleh Mya Zulkifli

Ikuti kupasan Suzana Ghazali pakar motivasi mengenai perlunya usaha menyelamatkan hubungan perkahwinan.


Sumber Gambar : Gambar Hiasan ( Google Image )

Seorang ibu muda yang baru selesai jalani tempoh berpantang anak pertama tika usia perkahwinan menjangkau 18 bulan bertanyakan kepada saya; kenapa perlu usaha selamatkan perkahwinan? Sebelum saya kongsikan jawapan saya tersebut menerusi ruangan ini, saya kongsikan kes ibu berusia 26 tahun ini. Wanita ini berdepan dengan suami yang menipu wangnya. Terkini tika sebelum dapatkan khidmat saya, dia baru perasan duit gajinya selama tempoh berpantang dikebas oleh suami. Suami tak minta izin atau beritahunya. Dia hanya tau apabila berhajat nak keluarkan duit daripada mesin ATM dan duit tiada. Bila ditanya kepada suami, suaminya mengaku. Tak ada maaf! Malah tiada janji untuk bayar semula wang hampir RM8000 itu.


Paling menyakitkan hati, si isteri turut dapat tau; suami tidak bekerja sejak pertengahan tahun lepas. Menyedihkan juga sepanjang cuti dua bulan berpantang, si suami tidak pernah menjenguk dirinya dan bayi sulung mereka yang ditinggalkan di kampung. Tika bertemujanji bersama saya menerusi panggilan telefon, si isteri serba salah. Rasa kasih tak pasti sebab hati terlalu luka dengan sikap suami. Ingin berpisah seperti terburu-buru walau keyakinan untuk teruskan hidup bersama suami tiada lagi malah tidak yakin suami akan berubah menjadi lebih baik.

Saya cadangkan agar berbincang dulu dengan suami atau dapatkan seseorang yang suami hormati untuk menegur sikap suami sebagai usaha selamatkan perkahwinan. Tika inilah saya ditanya dengan soalan yang saya kongsikan di awal perbincangan ini. Bagi menjawab soalan tersebut, saya ingatkan semula hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Perceraian tanpa sebab yang munasabah menurut syarak hukumnya adalah haram.

Meneliti kes yang saya kongsikan kali ini, memang jelas terdapat kesilapan suami dalam melayari bahtera perkahwinan yang sepatutnya menjadi amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya. Namun, suami belum pernah ditegur kesilapannya itu. Ya!! Betullah sebelum kahwin ada kursus perkahwinan bererti suami sepatutnya tahu peranan dan tanggungjawabnya. Duit yang diambil oleh suami pula bukan duit orang lain tapi duit isteri. Suami tak kerja mungkin tak sengaja atau tidak dapat pekerjaan. Suami mungkin terdesak nak guna duit. Suami mungkin tak sempat nak jenguk isteri dan anak. Terlalu banyak kemungkinan dan kisah yang perlu dirungkaikan dan tidak boleh diputuskan sendirian tanpa memberi peluang kepada suami untuk mempertahankan diri.

Seandainya jawapan suami tidak wajar menurut akal atau tuntutan syarak sekali pun, suami masih perlu diberi ruang dan peluang dengan cara dimaklumkan segala kesilapannya dan dijelaskan semula mengenai segala peranan dan tanggungjawabnya yang perlu dilaksanakan sebagai seorang suami dan seorang ayah. Jika isteri sukar berbincang dengan suami atau suami jenis enggan mendengar cakap isteri, ikhtiarkan seseorang yang boleh dipercayai dan dihormati oleh suami untuk membantu. Jalan akhir, adukan kes ke unit kaunseling di pejabat agama berdekatan. Jelaskan kehendak kes anda. InsyaAllah, ustaz atau ustazah berkaitan akan membantu.

Bila teguran telah diberikan, makluman yang perlu telah dijelaskan tetapi suami masih tegar dengan perangainya; enggan laksanakan tanggungjawab yang perlu dan isteri tidak boleh lagi hormatkan suami, barulah fikirkan untuk perpisahan. Ingat!! Cerai hanyalah langkah yang boleh dipertimbangkan selepas segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinan anda. Jangan sesekali fikirkan cerai bila menerima tekanan atau ujian di dalam perkahwinan. Perkahwinan bukan makmal kajian. Tak menjadi, musnahkan dan cipta semula yang baru. Perkahwinan juga bukan mainan, tak suka boleh tinggalkan sesuka hati.

Perkahwinan adalah amanah, bukan saja kepada pasangan tetapi kepada Tuhan Maha Kuasa. Tika anda bersetuju untuk menerima seseorang sebagai teman hidup, anda sebenarnya telah berjanji dengan Tuhan untuk membahagiakannya. Fitrah manusia takkan sunyi daripada melakukan kesilapan. Bila pasangan tersilap, tugas anda untuk membetulkannya. Kekurangannya untuk ditampung dan diatasi bersama kelebihan kita. Sama juga, kekurangan kita perlukan dia untuk menampungnya. Jika kekurangan yang boleh diperbetulkan tersebut secara sengaja enggan dibetulkan, nyatalah hikmah perkahwinan yang ditetapkan bukan saja oleh agama Islam malah ugama-ugama lain iaitu untuk kebahagiaan bersama suami isteri, tidak berjaya diperolehi lagi. Lantas, jalan terakhir yang boleh dipilih ialah keluar daripada perkahwinan iaitu cerai.

Allah SWT tidak sukakan perceraian tetapi DIA halalkan sebab DIA tahu, makhluknya yang bernama manusia ini feelnya tak serupa; ada yang baik malah ramai juga sebaliknya. Setiap manusia berhak untuk bahagia dan DIA izinkan perceraian bagi berikan peluang untuk setiap makhluknya bahagia dengan pilihan yang lebih baik. Paling penting, sentiasa dapatkan bantuan-Nya dalam membuat keputusan agar hidup sentiasa dalam redha-Nya!

SUZANA GHAZALI merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan sentiasa dijemput oleh media-media penyiaran tempatan seperti TV3, Astro, RTM untuk menjadi panel mengupas isu rumah tangga,perkahwinan dan kekeluargaan.Untuk menghubungi beliau, anda boleh emailkan ke binabahagia@gmail.com ataupun layari Bersama Suzana


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Mya Zulkifli