Tips Perkahwinan: Panduan Berdiet Untuk Lelaki

Oleh Mya Zulkifli

Kesihatan seorang lelaki perlu kerana tugas mereka yang banyak. Penjagaan yang rapi terutama pengambilan makanan dan senaman mengekalkan kesihatan tubuh.


Panduan Berdiet Untuk Lelaki

Benarkah lelaki tidak mementingkan bentuk tubuh apabila telah berkahwin dan mempunyai cahaya mata? Bukan semua lelaki begitu. Masih ramai lagi yang amat mementingkan penampilan serta bentuk tubuh, biarpun telah melewati usia 40 an. Golongan ini bijak mengatur jadual pemakanan serta senaman yang teratur bagi mengelakkan berlakunya 'gejala' perut buncit yang sering menghantui golongan lelaki.

Sejauh manakah diet dan jadual seharian mampu membantu golongan lelaki terutamanya yang telah berkahwin mendapat berat badan ideal? Bagaimana pula cara untuk mereka mengekalkan kecergasan agar sentiasa kekal sihat? Ikuti panduan diet berikut:

1. Nutrisi Pemakanan

Selain mengawal kalori, tubuh juga memerlukan bahan-bahan bernutrisi seperti vitamin dan mineral. Ia bagi memastikan metabolisme tubuh berfungsi lebih efisien agar ia boleh menukar makanan kepada tenaga. Jika ingin menurunkan berat badan, pastikan makanan yang diambil sihat seperti rendah lemak, rendah kandungan gula dan garam atau seperti yang disarankan oleh pakar nutrisi.

2. Aktiviti Fizikal

Senaman secara berkala akan membantu meningkatkan pembakaran kalori dan seterusnya meningkatkan kadar metabolisme. Jika tidak mampu atau kekurangan masa untuk mengunjungi gim, cukuplah sekadar aktiviti joging selama setengah jam di sekitar kediaman anda. Senaman kecergasan terbaik termasuklah melibatkan sistem kardiovaskular, senaman regangan dan senaman fleksibiliti untuk kekuatan dan ketahanan otak.

3. Bangkit Tubi

Jika anda mendapati perut anda semakin berisi, apa kata lakukan aktiviti bangkit tubi setiap hari. Biarpun kedengaran agak membebankan, apa salahnya asalkan anda mendapat kembali perut seperti zaman muda dahulu. Cuba mulakan dengan bilangan minima seperti 20 kali bangkit tubi. Selepas itu, gunakan dumbel sebagai bahan sampingan untuk melakukan aktiviti ini. Baring di tempat rata, pegang dumbel pada kedua-dua belah tangan, naikkan kaki ke paras lutut dan kemudian angkat badan secara perlahan-lahan sambil kedua-dua tangan diangkat ke sisi paha anda. Bertahan dalam kiraan 20 kali.


4. Snek Buah-buahan

Jika sebelum ini anda gemar menjadikan kerepek sebagai snek ketika menonton televisyen, kini gantikan dengan buah-buahan atau salad. Pilih buah-buahan segar yang tinggi serat dan rendah kalori seperti epal, oren, anggur, kiwi, pic, dan pisang. Dengan mengambil buah-buahan, berat anda akan mudah susut kerana ia amat berguna untuk sistem penghadaman.

5. Minum Air Secukupnya

Air secara semulajadinya akan mengurangkan selera makan dan membantu sistem tubuh berfungsi dengan baik. Sebelum mengambil makanan berat seperti nasi, pastikan anda minum air dahulu. Pasti anda tidak akan makan dengan banyak. Selain air putih, anda juga boleh menjadikan jus buah-buahan segar tanpa gula sebagai pilihan. Elakkan mengambil minuman berkarbonat atau kordial secara kerap.


6. Sokongan Isteri

Minta isteri anda supaya menyediakan masakan secara sihat dan tidak berlebihan. Sokongan isteri dalam membantu anda menguruskan berat badan amat penting. Beritahu isteri bahawa anda ingin sentiasa kekal sihat. Ini secara tidak langsung, isteri akan bertindak sebagai mandur dalam memastikan anda sentiasa menjaga pemakanan dan sering bersenam.


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Mya Zulkifli