6 Idea 'Dating' Untuk Pengantin Baru

Oleh Adilah Fatin

Teruja menyelami detik-detik indah hidup sebagai pengantin baru? Kami ada idea aktiviti yang anda boleh lakukan bersama pasangan anda ketika ber'dating'.

Foto: drivethenation.com

#1: Road Trip

Pastinya anda pernah terfikir untuk berjalan jauh-jauh bersama pasangan ketika zaman sebelum kahwin. Namun, hasrat tersebut dibiarkan terbantut kerana memikirkan yang idea tersebut kurang manis untuk dilakukan sebelum berkahwin. Inilah masanya untuk merealisasikan hasrat anda! Lagi-lagi sekarang minyak petrol sudah murah. (Nota untuk masa hadapan: Ketika artikel ini ditulis, harga seliter Ron 95 hanya RM1.70) Apa lagi, putuskan destinasi yang anda ingin tuju, sediakan keperluan anda dan pergilah mengembara bersama pasangan anda. Jangan lupa untuk bawa 'power bank' anda dan ambil gambar banyak-banyak.

Foto: Eat Drink KL

#2: Memburu 'Food Truck'

...atau dalam Bahasa Inggerisnya, 'Food Truck Hunting'. Jikalau anda dan pasangan gemar mencuba restoran baru atau membuat 'cafe hopping', apa kata anda mencuba aktiviti ini pula? Cabarannya apabila ada setengah 'food truck' yang gemar menukar lokasi 'food truck' mereka. Pelanggan selalunya harus memberi perhatian tentang lokasi yang diberikan melalu laman sosial peniaga.

Namun, ada juga peniaga 'food truck' yang beroperasi di lokasi yang tetap. Mana-mana pun, ganjarannya, anda dapat menikmati makanan yang lazat, mengenyangkan dan memuaskan hati pada harga yang berpatutan.

Antara peniaga 'food truck' yang anda boleh cuba:

SpagMe (Jalan Dungun)
Little Fat Duck (Subang SS15)
The Humble Chef (Jalan Damanseri)
Cendol & Rojak (Seksyen 4, Bangi)
La Famiglia (Jalan Dungun)
Flaming Wheels (rujuk Facebook)
Curbside Cantina (rujuk Instagram)
Oishi Bento (misteri)


Foto: Afnan Omar

#3: Melawat tempat pasangan anda membesar

Anda kemungkinan besar telah tahu banyak perkara tentang pasangan anda. Namun, tentunya anda teringin juga ingin melihat sendiri tempat-tempat yang pasangan anda selalu ceritakan, bukan? Alang-alang anda pulang ke rumah keluarga pasangan anda, pergilah melawat sekolah lama pasangan anda, taman permainan, pasar malam kegemaran keluarga pasangan anda, tempat mereka selalu bersarapan, restoran yang mereka kerap pergi dan tempat-tempat lain yang berkaitan dengan pasangan anda. Selain dapat keluar bersama, anda juga boleh lebih mengenali pasangan anda.

Foto: Bliss Wedding Shows

#4: 'Movie Marathon', di rumah

Hah! Inilah menariknya berkahwin. Anda tidak perlu keluar rumah untuk bertemu janji. Anda boleh pakai baju tidur dan bersantai di rumah sambil melihat filem-filem yang menarik bersama pasangan.

Sediakan mana-mana makanan yang sesuai; bertih jagung / hotdog / sandwic / california roll / keropok / aiskrim / pizza / ayam golek. Kemudian, nikmatilah filem-filem anda dan pasangan di rumah dengan santai.

Foto: Afnan Omar

#5: Belajar benda baru

Hidup lebih mengujakan jika anda tahu lebih banyak perkara. Jika anda sukakan aktiviti air, apa kata anda berdua cuba untuk mendapatkan lesen menyelam bersama? Jika anda berdua tidak tahu memasak, anda boleh mencuba kelas memasak bersama-sama. Mungkin juga kelas menari? Atau pergi ke ceramah agama bersama juga boleh. Tidak kisahlah jika anda belajar bersama-sama atau sesama sendiri, apa yang penting, anda dapat meneroka benda baru bersama-sama.

Foto: Afnan Omar

#6: Jaga anak rakan anda

Mungkin, idea ini tidak kedengaran seperti aktiviti 'dating' yang biasa. Namun, yang penting anda dan pasangan ada bersama. Selain itu, ini boleh menjadi satu indikator yang baik sekiranya anda berdua sedang berkira-kira untuk menambahkan ahli dalam keluarga mini anda. Selain dapat belajar sedikit tentang penjagaan anak kecil, anda juga dapat memberi ruang untuk rakan anda dan pasangannya meluangkan masa berdua.

Walaupun anda telah berkahwin, anda masih lagi boleh ber'dating' berdua. Jumpa setiap hari di rumah bukanlah alasan untuk anda mematikan terus usaha untuk melakukan aktiviti berdua. Luangkan masa berdua, dan berkomunikasilah sebaiknya. Semoga hubungan anda dan pasangan sentiasa ceria dan selalu mengujakan.

. . . . . . . . . .

Foto header: Afnan Omar


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Adilah Fatin