Kisah Benar: Akhirnya Aku Jumpa Kebahagiaan Hidup

Oleh Mya Zulkifli

Bolehkah pasangan yang dijodohkan oleh ibu bapa ini bahagia dan kekal hingga akhir hayat? Baca perjalan hidup Lisa mengharungi kehidupan rumah tangganya yang


Gambar Hiasan oleh: Adib Hakim Clicker Studio

Siapa sangka dalam dunia yang serba moden ini, masih ada lagi kes orang tua menetapkan jodoh anak-anak mereka. Dan salah seorang mangsanya adalah aku.

Muhammad Hafiz dan Nurul Alisa. Dua hati yang disatukan dalam keterpaksaan. Baik Hafiz mahupun aku, kami tidak pernah menginginkan perkahwinan ini. Buktinya setelah hampir setahun hidup bersama, kami tidak pernah menjalankan tugas kami dengan sempurna.

Bukan aku tidak pernah cuba untuk memperbaiki hubungan ini. Aku sering memujuk hatiku untuk menerima Hafiz. Belajar untuk menyintainya. Tetapi, jika hanya aku sahaja yang berusaha, mana mungkin hubungan ini dapat dipulihkan. Lalu, aku membiarkan masa menentukan hala rumah tangga kami.


Gambar Hiasan oleh: Adib Hakim Clicker Studio

Menjadi isteri kepada Muhammad Hafiz ibarat menyerahkan diri untuk dibaham oleh sang harimau. Hidupku penuh dengan derita. Kata-kata cacian sering meniti di bibir lelaki itu. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan lelaki itu.

Pernah aku dimarahi lelaki itu hanya kerana tidak menyediakan sarapan pagi seperti selalu. Bukannya aku sengaja, tetapi malam itu aku bertugas sehingga larut malam dan terlewat bangun pagi.

“Lisa tahu, kan abang kerja hari ni?" soal Hafiz keras.

Aku mengagguk perlahan.

“Kenapa tak siapkan sarapan macam selalu? Lisa ingat abang sempat ke kalau sarapan kat luar?" tengking Hafiz.

“Lisa tak sengaja, bang. Pagi ni, Lisa bangun lewat. Malam tadi Lisa bertugas," jawabku takut-takut.

Melihat wajahnya yang berang membuatkan aku takut untuk berkata. Tersilap kata, kemarahannya akan bertambah dan aku yang menjadi mangsa. Mujurlah Hafiz tidak pernah mengangkat tangan.

“Itu bukan masalah abang. Sediakan sarapan pagi, kerja Lisa."

“Maafkan Lisa, bang. Lain kali Lisa tak buat lagi."

“Sudahlah. Abang malas nak dengar lagi kata-kata maaf Lisa tu. Abang pergi dulu."

Aku hanya memerhatikan langkah Hafiz yang sudah berlalu pergi. Air mataku berguguran. Aku sedih diperlakuan sebegitu rupa oleh suamiku sendiri. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan Hafiz.Bencikah Hafiz terhadapku? Mengapa tidak aku dilepaskan sahaja?

Aku cuba untuk bertahan, tetapi selama mana? Aku juga seperti wanita lain, mempunyai naluri untuk dicintai dan menyintai. Jiwaku sangat terseksa. Ditengking dan diherdik oleh Hafiz hampir setiap hari.

Ingin sekali aku luahkan segala kemelut ini pada mama. Sekurang-kurangnya, tidaklah aku merasa terbeban. Aku menjadi seorang yang takut setiap kali ingin membuka mulut ini. Pada pandangan mama, tentulah aku bahagia di samping Hafiz kerana mama, papa dan ahli keluarga lain ditipu oleh lakonan hebat kami. Seolah kami adalah pasangan yang paling bahagia di dunia ini.

Aku teringat kembali perbalahan antara aku dengan papa dan mama. Memang aku berkeras menolak Hafiz. Papa dan mama juga berkeras menolak segala rayuanku. Apa pilihan yang aku ada selain menerima?

“Apa?" soalku terkejut.

“Kami buat ni, untuk kesenangan Lisa juga," jelas mama.

Aku mengeluh. “Kesenangan? Bukan kemewahan yang Lisa dambakan. Biarlah miskin harta pun, Lisa tak kisah. Ini melibatkan masa depan Lisa. Lisa yang berhak menentukan siapa suami Lisa."

“Hafiz tu baik budaknya. Lagipun, ni wasiat arwah Datuk Kamal. Dia nak sangat Hafiz disatukan dengan Lisa," pujuk Encik Azhar pula.

Datuk Kamal merupakan sahabat papa yang paling rapat. Mereka memasang impian untuk berbesan. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Datuk Kamal sempat berpesan supaya menyatukan aku dan Hafiz. Rombongan dari pihak lelaki datang minggu lalu dan papa dengan senang hatinya menerima.

Aku mendengus kasar. “Sekarang ni bukan zaman kahwin paksa lagi. Lisa tak kenal Hafiz dan Lisa tak nak kenal dengan Hafiz. Baik macam mana pun Hafiz tu, Lisa tak akan terima dia. Ini keputusan Lisa." Tegasku meyatakan pendirian.

“Alisa, papa dan mama nak tengok Lisa bahagia. Kami percaya, Lisa akan bahagia dengan Hafiz."

“Kenapa Lisa, ma? Kak Lina dan Abang Akmal kahwin dengan pilihan hati mereka. Bila tiba Lisa, kenapa papa dan mama yang tentukan jodoh Lisa?" Alisa meluahkan isi hatinya. Dia berharap agar papa dan mamanya faham akan perasaannya.

“Lisa dah ada buah hati ke?"

Soalan papa membuat aku terkedu. Lambat-lambat aku menggelengkan kepala. Aku tidak punya alasan yang kukuh untuk menolak permintaan papa dan mama.

“Lisa, kami bukannya nak memaksa Lisa. Tapi, apa yang kami lakukan ni, untuk Lisa, sayang. Tak kisahlah suami Lisa tu pilihan hati Lisa, atau pilihan kami. Kami hanya mahukan yang terbaik buat Lisa," tutur mama lembut.

“Papa dan mama buatlah apa yang perlu. Lisa tak nak ambil tahu lagi."

Aku terus meninggalkan papa dan mama. Jelas aku tidak berpeluang untuk menolak permintaan papa dan mama.

Adakah kebahagian setelah menempuh jalan kedukaan? Itulah persoalan yang sering bermain di mindaku. Adakah mama dan papa juga mengalami masalah yang sama ketika di usia perkahwinan mereka berusia setahun jagung? Mereka juga disatukan atas pilihan keluarga, tetapi kekal bahagia sehingga hari ini. Aku dan Hafiz? Entah berapa lamalah ikatan ini dapat bertahan.

Sejak kebelakangan ini, mama membuatkan aku lebih tertekan. Soalan tentang kehadiran orang baru dalam rumah tanggaku.

“Lisa, tak ada apa-apa lagi ke?" soal mama.

Aku mengerutkan dahi. Sengaja aku buat-buat tidak faham dengan pertanyaan mamanya itu. Hafiz yang duduk di sisiku sedang membaca akhbar, tidak menghiraukan aku dan mama.

“Maksud mama, bila Lisa dan Hafiz nak bagi mama cucu? Dah hampir setahun kamu berdua kahwin," jelas mama lagi.

Aku hanya membiarkan pertanyaan mamanya tanpa jawapan. Aku sendiri tidak tahu apa yang patut dijawab pada mama. Sebetulnya, aku ingin Hafiz yang menjawab soalan mama. Tetapi, Hafiz masih menumpukan perhatiannya kepada surat khabar yang sedang dibacanya.

“Kamu berdua ada masalah ke?" soal mama apabila kami berdua tidak menghiraukan pertanyaan mama.

Mungkin mama dapat menghidu retak-retak dalam rumah tangga kami. Isu anak sepatutnya menjadi isu yang amat menarik untuk dibincangkan oleh sepasang suami isteri seperti aku dan Hafiz. Tetapi, kami sedikit pun tidak berperasaan untuk duduk semeja bagi membincangkan isu anak ini.

“Tak ada apalah, ma. Belum ada rezeki lagi, agaknya," jawab Hafiz. Mungkin dia ingin menampal retak-retak itu sebelum keadaan menjadi bertambah serius.

“Tak apalah kalau macam tu. Mama ingat kamu berdua merancang keluarga."

“Hafiz kena kerja kuat nampaknya nak bagi mama cucu," jawab Hafiz selamba.

Ketawa meletus di bibir Hafiz dan mama. Aku hanya diam membisu. Kemudian, aku terus angkat punggung meninggalkan Hafiz dan mama.

Memang benar telahanku. Mama dapat menghidu kepincangan yang berlaku dalam rumah tangga kami.

“Lisa," tegur mama ketika terlihat kelibatku di halaman rumah.

Aku memalingkan tubuh menghadap mama. “Mama tak tidur lagi? Dah pukul berapa ni?" soalku.

“Patutnya mama yang tanya kamu soalan tu. Kesian pada Hafiz, tidur seorang."

Aku mencebikkan bibir. Lagi-lagi nama Hafiz yang disebut mama. Tidakkah mama tahu bahawa hidup anak gadisnya ini terseksa? Mentalku diseksa teruk oleh Hafiz. “Lisa tak boleh tidurlah, ma. Tu yang turun bawah ni, ambil angin."

Suasana sepi seketika. Aku dapat merasakan mama teragak-agak untuk bertanya tentang rumah tanggaku dengan Hafiz. Tajam mata mama menikam hatiku tatkala aku bangun meninggalkannya bersama Hafiz lewat petang tadi sudah menjelaskanku.

“Lisa, mama bukannya nak campur tangan dalam urusan Lisa dan Hafiz, tapi mama dapat rasa yang Lisa ada masalah dengan Hafiz."

“Tak adalah, ma. Lisa dengan abang Hafiz baik aje," jawabku.

Aku tidak mungkin memberitahu sikap Hafiz yang selalu mendera perasaanku itu. Jika Hafiz mengetahuinya, pasti lelaki itu berang. Dan aku juga terpaksa menjadi mangsanya sekali lagi.

“Pergaduhan kecil dalam rumah tangga tu biasalah, Lisa. Mama dan papa kamu pun ada bergaduh juga."

“Lisa dengan abang Hafiz tak ada masalah, ma."

“Baguslah macam tu. Mama tak mahu tengok kamu berdua bergaduh. Lisa pun selalulah mengalah dengan Hafiz tu. Kadang-kadang lelaki ni, ego sikit. Nak minta maaf dengan isteri pun tak mahu," nasihat mama lagi.

Aku mengagguk faham. Aku sudah terlalu banyak mengalah dengan Hafiz. Segala arahan Hafiz sudah dituruti, namun Hafiz masih lagi mendera emosiku. Masih ada kesalahan yang aku lakukan di mata lelaki itu walhal segalanya sudah aku lakukan sebaik mungkin.

“Lisa, mama faham. Lisa kahwin dengan Hafiz pun sebab mama dan papa. Tapi, Lisa cubalah bina rumah tangga Lisa. Papa dan mama kahwin pun atas pilihan keluarga. Bahagia sampai hari ni."

Aku diam. Mungkin benar kata mama. Aku harus mencuba lagi untuk membina rumah tanggaku. Tetapi, sanggupkah aku untuk terus hidup bersama Hafiz?

Kehidupanku dan Hafiz kembali seperti biasa sekembalinya dari kampungku yang terletak di Melaka. Hafiz masih lagi dengan sikap barannya. Masih ada sahaja yang tidak kena pada pandangan lelaki itu. Aku pula hanya mampu menadah telinga, mendengar segala kemarahan Hafiz Entah apa yang tidak kena dengan lelaki itu, terlalu cerewet.

Pintu bilikku terkuak dari luar. Siapa lagi kalau bukan Hafiz. Hanya kami berdua sahaja yang tinggal di dalam banglo ini, hadiah perkahwinan dari ibu Hafiz. Aku melihat Hafiz sudah menapak masuk ke dalam kamarku. Entah apalah yang diinginkan oleh suamiku itu. Biasanya, tidak pula Hafiz menjejakkan kaki ke bilik ini.

“Apa yang tak kena lagi, bang?" tanyaku acuh tidak acuh.

“Abang dah janji dengan mama nak dapatkan cucu untuk dia. So, abang nak mulakan kerja abang malam ni," selamba Hafiz berkata.

Aku terkedu. “What?"

“Janganlah banyak tanya. Lisa dah dengar apa yang abang cakap tadi. Jom tidur," arah Hafiz.

“Tak nak!" jeritku. Aku tidak akan sekali-kali membenarkan tubuhku disentuh Hafiz.

“Kalau Lisa tak bantah cakap abang tak boleh ke? Atau Lisa nak abang paksa Lisa? Lisa tahukan, melayan suami adalah salah satu tanggungjawab Lisa."

“Apa yang abang tahu pasal tanggungjawab?" soalku. Aku juga turut meninggikan suara.

Kali pertama aku meninggikan suara pada suamiku. Selama ini, aku membiarkan sahaja kepalaku dipijak oleh Hafiz, tetapi tidak kali ini. Tubuhku hanya buat suami yang benar-benar menyintaiku sahaja.

“Lisa!"

Hafiz bangun dari katil dan mendapatkanku. Tanganku ditarik kasar oleh Hafiz. Badanku sudah dihumban ke katil. Hafiz terus bertindak. Aku sudah tidak dapat lari lagi. Air mataku turun lagi, kerana lelaki yang bernama Mohd. Hafiz ini. Aku diperkosa suamiku sendiri.

Sebulan sudah peristiwa itu berlalu dan sudah hampir sebulan juga aku terpaksa melayan Hafiz. Aku sedar melayan suami adalah salah satu daripada tanggungjawabku. Namun, Hafiz tidak pernah sekalipun menghargaiku sebagai isterinya. Lalu, apa manfaat yang aku terima? Aku hanya inginkan kasih sayangnya sahaja.

Lelaki itu sangat kejam. Tidakkah lelaki itu marasa belas setiap kali melihat air mataku tumpah? Bukan sekali dua aku menangis kerana lelaki itu, sudah acap kali. Kenapa papa dan mama sanggup menyerahkanku pada lelaki seperti Hafiz? Lelaki yang tidak pernah mengenal erti kasih dan sayang. Aku sangat tertekan dengan perlakuan Hafiz.

“Lisa, kau nampak makin kurus. Kau ada masalah dengan suami kau ke?" tanya Daniel, teman sekerjaku. Aku kenal dengan Daniel sejak mula bertugas di hospital ini. Daniel banyak membantuku, juga selalu mendengar luahan hatiku. Hanya kekasaran Hafiz terhadapku sahaja tidak pernah diceritakan pada sesiapa.

“Tak ada apalah. Aku okey je dengan dia," balasku.

“Itu mulut kau yang cakap. Tapi, tengok muka kau pun aku dah tahu yang kau tu sedang menanggung derita. Kalau kau tak keberatan, ceritalah pada aku. Sekurang-kurangnya, ringan sikit beban yang kau tanggung tu."

Aku tersenyum. “Aku tak apa-apa."

Pintu bilikku terkuak dan muncul wajah Hafiz. “Lisa," tegur lelaki itu ceria. Namun, wajahnya berubah tatkala matanya singgah pada lelaki yang duduk di hadapanku.

“Hafiz!"

“Daniel!"

“Kau kenal dengan Lisa?" soal Daniel.

“Lisa isteri aku!" jawab Hafiz tegas.

Daniel terkejut. “Lisa ni, isteri kau?"

“Ya. Kau buat apa dengan isteri aku? Kau nak goda dia ke?" jerkah Hafiz tanpa usul periksa.

“Kau dah salah faham, Fiz. Aku datang ni, cuma hantar fail pesakit yang dia minta."

“Dah hantar tak reti nak keluar? Kau memang sengaja cari alasan nak jumpa isteri aku, kan. Kawan apa kau ni, hah? Sanggup kau goda isteri kawan kau sendiri."

“Abang, betul apa kata Daniel tu."

“Kau diam, Lisa. Kau pun sama ada hati dengan dia?" soal Hafiz kasar.

“Hafiz!"

Amarah Hafiz tidak dapat ditahan lagi. Dia segera bertindak. Tangannya sudah diangkat ke udara, bersedia untuk melayangkan sebiji buku lima pada Daniel. Tetapi, tindakannya terhenti apabila isterinya rebah tidak sedarkan diri. Hafiz segera mendapatkan Alisa.

“Lisa, kenapa ni?"

“Bawa Lisa ke wad kecemasan," arah Daniel.

Hafiz mengangkat tubuh isterinya. Hatinya benar-benar risau kini. Apa yang terjadi pada Alisa? Dia menyesal kerana memberi layanan yang buruk terhadap Alisa.

Setengah jam sudah berlalu. Pintu wad kecemasan masih lagi belum terbuka. Apa yang menyebabkan isterinya pengsan?

Sebentar kemudian, Daniel keluar. “Kenapa dengan Lisa?"

“Tahniah, Fiz. Kau bakal jadi ayah. Lisa mengandung."

Hafiz terkejut. Alisa mengandung? “Betul ke ni?"

Daniel mengangguk. “Kau boleh jumpa dia kat wad sekejap lagi."

Hafiz mengagguk.

“Fiz, bukannya aku nak sibuk hal rumah tangga kau dengan Lisa. Aku rasa Lisa tu tertekan. Badan dia pun dah makin kurus. Tak elok untuk ibu yang sedang mengandung."

“Aku yang salah, Daniel. Perkahwinan aku dengan Lisa dirancang keluarga. Aku yang buat Lisa tertekan. Aku tak dapat terima mana-mana perempuan lagi dalam hidup aku setelah aku dikecewakan beberapa kali. Setiap perempuan datang pada aku kerana harta yang aku miliki. Aku ingat, Lisa pun macam tu juga. Kahwin dengan aku kerana harta." Hafiz mula membuka cerita.

“Tapi, aku silap. Lisa tak pandang harta aku. Mama dia beritahu aku yang Lisa tak pernah pandang segala harta aku. Baru aku sedar, selama ni aku dah banyak buat silap pada dia. Setiap hari aku marah dia. Aku paksa dia layan aku. Aku menyesal, Daniel. Dia patut dapat suami yang jauh lebih baik daripada aku."

“Kau jangan cakap macam tu. Lisa tu, bukan pendendam orangnya. Kau pujuk dia perlahan-lahan. Lama-lama, lembutlah hati dia," nasihat Daniel.

“Aku akan cuba. Terima kasih, Daniel."

Daniel mengangguk.

Hafiz menuju ke wad yang menempatkan isterinya. Hatinya berbunga riang mendengar perkhabaran dari Daniel tadi. Alisa sedang mengandungkan anaknya.

“Lisa," panggil Hafiz perlahan.

Aku memalingkan muka dari Hafiz. Aku sudah tidak tahan lagi untuk hidup bersama Hafiz.

“Daniel beritahu abang yang Lisa mengandung."

“Ni bukan anak Lisa," jawabku.

“Apa yang Lisa cakap ni?" tanya Hafiz.

Lembut sahaja suaranya kedengaran di telingaku. Adakah dia benar-benar sudah berubah atau ini adalah salah satu lakonannya? Aku tidak boleh terlalu percaya pada Hafiz.

“Anak ni, anak abang dengan Lisa."

“Lisa mengandung kerana abang yang perkosa Lisa. Anak ni bukan kehendak Lisa."

“Lisa!"

“Lisa dah tak tahan lagi hidup dengan abang. Lepaskan Lisa.\"

Aku tahu bergegar tiang Arash sekiranya isteri meminta cerai dari suami. Tetapi, aku benar-benar sudah tidak sanggup untuk hidup dengan Hafiz. Aku tidak sanggup mendengar kata-kata cacian dari mulutnya. Aku tidak mahu diriku tertekan sepanjang tempoh mengandung.

“Abang takkan lepaskan Lisa. Lisa isteri abang dunia akhirat."

“Lisa dah penat, bang. Selama ni, Lisa tak pernah minta apa-pa dari abang. Kali ni sahaja, Lisa minta abang lepaskan Lisa. Lisa dah tak sanggup nak hidup berendam air mata setiap hari."

“Lisa, abang minta maaf. Abang janji tak akan ulang lagi perkara yang lepas. Kita bina keluarga kita. Abang, Lisa dan baby yang bakal lahir nanti," rayu Hafiz lagi.

“Lisa tak boleh, bang. Lisa kahwin dengan abang pun sebab papa dan mama. Papa beritahu Lisa abang ni, baik orangnya. Harta yang abang ada tu dapat menjamin kesenangan Lisa pada masa hadapan. Tapi, Lisa tak hadap harta abang tu. Lisa hanya nak kasih sayang abang je. Tapi, abang tak pernah nak bagi kasih sayang abang tu pada Lisa. Benci sangat ke abang pada Lisa?"

“Abang mengaku, memang abang yang silap. Abang silap menilai Lisa. Abang ingat Lisa macam gadis-gadis lain, menghimpit abang kerana harta yang abang miliki."

“Kenapa mesti abang samakan Lisa dengan perempuan lain? Selama ni, pernah Lisa minta apa-apa dari abang? Gaji Lisa dah cukup banyak untuk menampung hidup Lisa. Lisa tak harap sesen pun daripada harta abang tu. Abang bawalah harta abang tu sampai mati. Lisa tak kisah."

“Abang betul-betul minta maaf pada Lisa. Lisa mintalah apa pun, abang akan tunaikan. Cuma, perceraian sahaja yang abang tak sanggup nak lafazkan."

“Abang keluar daripada sini. Hati Lisa sakit dengar kata-kata abang tu. Mata Lisa pun sakit tengok abang. Jangan datang lagi jumpa Lisa."

Hafiz mengeluh perlahan. Wajah Alisa ditenungnya lama. Perlahan-lahan dia bangun meninggalkan Alisa. Akur dengan kehendak isterinya.

Dua bulan Hafiz menghilang. Tiada khabar berita yang dikirim buat Alisa. Isterinya yang meminta dia supaya pergi. Tetapi, hatinya rindu untuk menatap wajah tenang Alisa. Hendak kembali ke rumah, dia takut kemarahan isterinya masih belum surut. Alisa juga tidak pernah cuba menghubunginya. Rajuk Alisa masih belum surut.

Hafiz bertindak mengekori Alisa. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukan Hafiz. Memandang isterinya dari jauh. Wanita itu seorang yang tabah. Alisa mampu untuk meneruskan kehidupan tanpa kehadirannya. 'Abang rindukan, Lisa,' rintih hatinya.

'Nurul Alisa dan Muhammad Hafiz. Dua hati yang bersatu pada luaran. Mengapa aku tidak pernah cuba untuk menyatukannya supaya kami dapat hidup seperti pasangan lain walaupun kami dipertemukan dan diikat atas permintaan keluarga?

Tidak pernah sekalipun aku terfikir untuk membuang Lisa dari hidupku, tetapi dalam masa yang sama, aku tidak pernah menerimanya. Malah, kata-kata kasar sering meniti di bibirku. Tidak ada sedikit ruang pun di hatiku terpahat nama Lisa. Sepatutnya, di situlah nama Lisa kuabadikan agar ingatanku terhadapnya tidak pernah surut. Kejamnya aku kerana mempelakukan Lisa sedemikian rupa. Saat ini, aku merasakan aku adalah seorang suami yang tidak bertanggungjawab.

Benar kata ibu. Kadang-kala cinta memerlukan masa untuk hadir. Begitulah cintaku terhadap Lisa. Dapatkah Lisa menerima cintaku setelah aku membiarkan dia menderita tanpa kasih sayang dan belaian dari seorang lelaki yang bernama suami?

Adakah aku yang bersalah kerana tidak pernah cuba untuk merapatkan hubungan ini? Atau aku memang sudah sedia meregangkan hubungan ini? Bukannya Lisa tidak pernah cuba untuk merebut hatiku, tetapi segala kebaikannya tidak pernah aku nampak. Aku tidak pernah melihat apa yang cuba disampaikan Lisa dengan mata hatiku. Apa yang aku lihat Lisa adalah seperti gadis-gadis lain. Menghimpitku kerana harta yang aku miliki. Sesungguhnya, aku adalah insan yang paling kejam dan harus dipersalahkan.'

Hafiz kembali memandang Alisa. Sesekali Alisa mengusap perutnya. Seingatnya, kandungan Alisa baru berusia tiga bulan. Sedihnya, dia tidak bersama Alisa di awal kehamilan isterinya itu. Adakah Alisa mengalami alahan teruk seperti ibu-ibu lain?

***********


Gambar Hiasan oleh: Adib Hakim Clicker Studio

Aku melangkah dengan berhati-hati. Tersilap langkah, aku pasti tersungkur. Kandunganku baru berusia tiga bulan. Aku tidak mahu kerana kelalaianku, anak ini terkorban. Aku menuruni tangga, namun kakiku tidak dapat memijak anak tangga terakhir. Aku dapat merasakan diriku di awangan sebelum sepasang tangan menyambutku dari belakang dan memelukku erat.

Aku memandang wajah insan yang telah meyelamatkanku. Hafiz!

“Lisa tak apa-apa?"

Aku menggeleng.

“Lain kali, hati-hati. Kalau abang tak ada tadi, macam mana? Abang tak nak baby kita mati. Penat abang bekerja nak dapatkan baby ni," bisik Hafiz ke telingaku. Dia masih lagi tidak melepaskan pelukannya.

“Lisa tak perasanlah. Abang buat apa kat sini?" soalku lembut.

Sesungguhnya, aku tidak pernah menyimpan sekelumit dendam pun terhadap Hafiz. Aku hanya ingin dia insaf dengan kesalahan yang pernah dilakukannya tehadapku dahulu.

“Saje perhatikan Lisa. Abang rindu pada Lisa," Hafiz membalas.

“Kenapa tak balik rumah?"

Aku tidak berniat untuk menghalaunya pergi daripada mahligai kami. Kata-kata yang lahir dari mulutku dahulu adalah kerana kecewa dengan sikap Hafiz. Tidak pula aku sangka dia betul-betul menurut kata-kata itu.

“Takut Lisa pula yang marah kat abang. Abang ni, bukan macam Lisa, penyabar orangnya."

“Lisa minta maaf pada abang kalau Lisa buat abang rasa macam tu."

“Abang yang patut minta maaf pada Lisa. Abang yang kejam kerana marahkan Lisa hari-hari. Bila Lisa dah tak ada, baru abang tersedar. Maafkan abang, ya."

Aku tersenyum. “Lisa dah lama maafkan abang. Abang balik rumah, ya. Lisa takut tinggal seorang diri," pintaku.

“Lisa ikut abang pergi hotel. Ambil barang, lepas tu kita balik rumah," ujar Hafiz ceria.

Aku tersenyum. Mungkin selama ini aku diuji oleh Tuhan untuk mengukur sejauh mana tahap kesabaranku terhadap sikap suamiku. Kini, ketenangan dan kesabaranku selama ini membawaku menuju jalan kebahagiaan. Terima kasih papa dan mama kerana menjodohkan Lisa dengan abang Hafiz.

Credited to http://muzri.wordpress.com/


comments powered by Disqus

Recommended

  • Text & Photos by

    Mya Zulkifli